PETALING JAYA - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini
berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak perlu diteruskan dalam
Belanjawan 2014, dan ini sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyat
kepada kerajaan.
Kerajaan sebaliknya perlu mencari jalan untuk melatih golongan kurang
berkemampuan itu dengan sesuatu kebolehan supaya dapat menjadi sumber
pendapatan mereka, katanya kepada pemberita selepas berucap di majlis
Program Bicara Petang Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.
"Sepatutnya dalam masyarakat kita, kita tak suka jadikan orang kita
ini, orang yang selalu bergantung kepada kerajaan dan tak mahu membuat
kerja.
"Apa yang kita dapat secara percuma tidak akan dihargai sebab itu
walaupun banyak BR1M diberi," katanya sambil menambah: "Kalau
betul-betul daif, miskin dan tak berupaya barulah boleh diberi bantuan."
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai cadangannya untuk
Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak di Parlimen pada 25 Oktober ini.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata ekonomi negara dijangka tidak akan
mengalami kesan yang besar akibat penutupan operasi kerajaan Amerika
Syarikat, ini kerana perdagangan dua hala antara kedua-dua buah negara
kini semakin berkurangan.
Beliau berkata jumlah dagangan negara tidak bergantung sepenuhnya
dengan ekonomi Amerika Syarikat, kecuali ia terjadi di masa yang lepas.
"Kesannya sedikit sebanyak ada, tetapi kita bukan berdagang semuanya dengan Amerika Syarikat," katanya.
Dr Mahathir berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat
mencapai 20 peratus satu masa dahulu tetapi sekarang sudah merosot
kerana kemampuan membeli di Amerika Syarikat telah berkurangan.
Operasi kerajaan Amerika Syarikat terpaksa dihentikan selepas Kongres
menolak pelan kesihatan yang dibawa Presiden Barack Obama. - Bernama
No comments:
Post a Comment